Thursday 16 January 2014

Said bin Zaid bin Amru: Seorang Kekasih Kepada Yang Maha Pengasih

Sabda Rasulullah SAW: Abu Bakr di dalam syurga, ‘Umar di dalam syurga, ‘Uthman di dalam syurga, ‘Ali di dalam syurga, Tolhah di dalam syurga, al-Zubair di dalam syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di dalam syurga, Sa’ad di dalam syurga, Sa’id di dalam syurga dan Abu ‘Ubaidah al-Jarrah di dalam syurga.” (HR al-Tirmizi)

Said bin Zaid r.a adalah salah seorang daripada 'As-Sabiqun Al-Awwalun' iaitu golongan yang paling awal memeluk Islam ketika permulaan dakwah Rasulullah SAW. Beliau merupakan putera kepada Zaid bin Amru yang terkenal sebagai saki baki penganut agama Hanif yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Umar al-Khattab r.a merupakan abang ipar beliau melalui perkahwinannya dengan adiknya Fatimah al-Khattab dan kisah keislaman Umar berkait rapat dengan peranan suami isteri ini yang berani dan tegas mempertahankan akidah mereka walaupun diancam dengan seksaan dari Umar.



Latar Belakang
Beliau dilahirkan sebagai putera kepada Zaid bin Amru, seorang lelaki yang masih teguh dan setia memegang akidah agama Hanif di tengah-tengah kebanjiran penyembah-penyembah berhala ketika itu. Bapa beliau, Zaid bin Amru amat membenci amalan-amalan yang diamalkan oleh kaum musyrikin terutamanya membunuh anak-anak perempuan.

Didalam sejarah, beliau dikenang sebagai orang yang menyelamatkan anak-anak perempuan yang ingin dibunuh dimana mereka akhirnya dibesarkan melalui tangannya sendiri. Beliau juga meninggalkan menyembah berhala dan menyembah Allah SWT semata-mata, tidak makan daging yang disembelih atas nama berhala mengikut akidah agama Hanif.

Zaid bin Amru yang berfikiran cerdas melampaui kaumnya sering menegur dan mencela perbuatan kaum arab musyrikin sehingga menyebabkan beliau diseksa dan dihalau keluar dari Mekah oleh Al-Khattab bin Nufail, bapa kepada Umar.


Memeluk Islam
Said yang dididik oleh bapanya memiliki minda dan jiwa yang suci serta tidak pernah menyembah berhala sejak kecil lagi. Justeru itu, apabila dakwah Islam baru bermula, dia tidak teragak-agak menyambut seruan Rasulullah SAW dan menjadi gelombang pertama pemeluk akidah Islam dan Iman. Sayangnya bapanya tidak sempat hidup lama untuk menikmati nikmat Islam kerana meninggal sebelum Rasulullah SAW menjadi Rasul. Dia dan isterinya Fatimah al-Khattab degan segera menyambut seruan keimanan walaupun mengetahui ancaman seksaan dan cemuhan dari kaum musyrikin.

Said bin Zaid r.a  dan isteri berjaya menyembunyikan keislaman mereka sehinggalah tibanya hari rumah mereka diserbu Umar al-Khattab ketika mereka sedang mempelajari al-Quran dengan sahabat baginda SAW, Khabab al-Aratt. Said dan isterinya, Fatimah dipukul sehingga berdarah oleh Umar. Melihatkan keadaan mereka yang berlumuran darah, menimbulkan rasa simpati dan ingin tahu oleh Umar r.a kepada agama Islam, mengapa mereka begitu teguh mempertahankannya.

Keislaman Umar dianggap sebagai suatu kemenangan oleh umat Islam kerna dengan adanya Umar dan Hamzah r.a yang terlebih dulu memeluk Islam, pengaruh mereka berdua menyebabkan orang Islam semakin berani terutamanya untuk bersolat secara terbuka di Masjidil Haram. Namun, dendam kaum musyriki terhadap orang beriman menyebabkan seksaan yang diterima seterusnya semakin dahsyat sehingga umat Islam disarankan berhijrah ke Habsyah untuk menyelamatkan akidah mereka.

Kerajaan Islam Madinah dan Tirai Baru Kehidupan Said
Selepas Kerajaan Islam Madinah yang dipimpin Rasulullah SAW ditubuhkan, Said mempergiatkan diri dengan lebih aktif terhadap usaha-usaha dan kempen yang dianjurkan Rasulullah SAW. Beliau menyertai kesemua peperangan dalam zaman Rasulullah SAW kecuali Perang Badar kerana ketika itu beliau dan beberapa sahabat lain ditugaskan merisik pergerakan tentera musyrik. Namun begitu para perisik Rasulullah SAW ini diberikan berita gembira iaitu pahala dan keutamaan yang sama dengan ahli-ahli Badar yang lainnya.

Beliau istiqamah menghadiri majlis ilmu Rasulullah SAW, berdiri di belakang baginda setiap kali solat berjemaah, dan berdiri dihadapan Rasulullah SAW ketika perang fisabilillah. Beliau dengan sukacitanya melibatkan diri dengan berani dalam semua peperangan dalam Islam sehingga akhir hayat baginda. Kecintaan Said kepada Allah dan Rasulnya disedari oleh Rasulullah SAW lalu dalam sebuah hadis sahih riwayat Tirmizi baginda SAW bersabda:

"Abu Bakr di dalam syurga, ‘Umar di dalam syurga, ‘Uthman di dalam syurga, ‘Ali di dalam syurga, Tolhah di dalam syurga, al-Zubair di dalam syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di dalam syurga, Sa’ad di dalam syurga, Sa’id di dalam syurga dan Abu ‘Ubaidah al-Jarrah di dalam syurga.” (HR al-Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan kemuliaan yang diperoleh oleh Said sehingga didudukkan bersama sahabat-sahabat utama nabi yang lainnya. Namun begitu hadis ini tidak pula menafikan kedudukan sahabat-sahabat yang lain didalam mendapat jaminan Syurga.

Zaman Pemerintahan Sahabat dan akhir hayat beliau
Said r.a meneruskan kariernya sebagai perajurit barisan hadapan tentera Islam dalam setiap kempen peperangan pada zaman sahabat. Ketulusan dan kesucian hatinya, jiwanya yang lurus dan jujur dalam perjuangan menegaakan aqidah Islam dikagumi para sahabat dan Umat Islam. Beliau pernah ditawarkan menjadi wali dan Gabenor Damsyiq oleh komander tertinggi tentera Islam ketika itu iaitu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah (salah seorang yang dijamin syurga). Apabila menerima perlantikan tersebut Said segera membalas surat tersebut yang meminta orang lain menggantikannya sedang dia pula bersegera menuju ke medan perang untuk bergabung bersama tentera Islam seolah-olah tidak sabar memburu syurga.

Umur beliau lanjut sehingga ke pemerintahan Muawiyah. Beliau mengelakkan diri dari konflik antara Saidina Ali dan Muawiyah. Beliau menjalani hari tuanya dengan tenang dan damai setelah Empayar Islam tersebar luas sehingga memadamkan kerajaan Parsi dan menekan kerajaan Rom. Ketenangan dan kedamaian yang Allah SWT anugerahkan kepada beliau diisi dengan ibadah dan sumbangan baktinya kepada masyarakat Islam.

Dalam riwayat yang terkenal, ketika pemerintahan Muawiyah, terjadi pertengkaran antara beliau dan seorang wanita tua yang mendakwa Said menceroboh tanah miliknya. Said yang terkenal jujur dan lurus memberitahu kepada pegawai-pegawai gabenor:

“Apakah mungkin aku mendzalimi wanita ini (yakni merampas tanahnya), sedangkan aku mendengar sendiri Rasulullah SAW bersabda : Barang siapa yang mendzalimi seseorang dengan sejengkal tanah, maka Allah akan melilitnya dengan tujuh lingkaran bumi pada hari kiamat kelak!!”
Said meninggal pada tahun 673 masihi, 51 tahun selepas hijrah ketika pemerintahan Muawiyah. Beliau dikebumikan oleh Saad bin Abi Waqqah dan putera Umar al-Khattab.

Rujukan:

1. http://www.radianceweekly.com/297/8419/how-us-provokes-afghans/2012-03-11/role-models/story-detail/saeed-bin-zaidmay-allah-be-pleased-with-him.html

2. http://en.wikipedia.org/wiki/Saeed_bin_Zaid

3. http://mufti.perlis.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=313:hadis-10-sahabat-dijamin-syurga&catid=42:soal-jawab-agama&Itemid=131

4. http://percikkisahsahabat.blogspot.com/2013/06/said-bin-zaid-ra.html