Monday 11 March 2013

Dr Burhanudin al Helmy- Pejuang Kebebasan dan Pemikir Islam Versatil Melampaui Zaman

Di atas robohan Kota Melaka; Kita Dirikan Jiwa Merdeka; Bersatu padulah segenap baka; Membela hak keadilan pusaka.


Latar Belakang dan Sejarah Awal Hidupnya


Burhanudin atau nama asalnya Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak.

Burhanuddin Al-Helmy mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama dan sekolah Melayu. Dia dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatra Barat pada tahun 1924 hingga 1926. Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas sanawi pada tahun 1934.

Pendidikan di Peringkat Universiti dan Pembabitan dalam Perubataan Homeopati

Burhanuddin Al-Helmy telah mendapat biasiswa seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh. Di universiti tersebut Burhanuddin Al-Helmy mengambil bidang sastera dan falsafah dan selanjutnya beliau dianugerahkan dengan PhD.

Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin Al-Helmy kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura. Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy belajar ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Dengan kelayakan ini, Burhanuddin Al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura.

Pembabitan Di Dalam Dakwah dan Politik

1. Penerbit majalah Taman Bahagia, Singapura

2. Penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat, Singapura

3. Ahli Persatuan Jama’atul Islamiah

4. Ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), 1939

5. Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu semasa pendudukan Jepun

6. Pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), 1945

7. Ketua Umum Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945

8. Pengerusi PUTERA-AMCJA, 1947

9. Ahli Jawatankuasa Perhubungan Bangsa-bangsa Asia, 1947

10. Ahli pengasas PEPERMAS, 1947

11. Ahli pengasas MATA, 1947

12. Ahli pengasas Hizbul Muslimin, 1948

13. Wakil Malaya di Persidangan Afro-Asia Bandung, 1955

14. Jurucakap Barisan Kebangsaan Melayu, 1955

15. Melancarkan penubuhan Parti Rakyat Malaya, 1955


Pengaruh Dalam Ideologi dan Perjuangan Beliau 

Semasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin Al-Helmy berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan aliran Kaum Muda.

Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Kepala Batas, Burhanuddin Al-Helmy juga terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau.

Semasa belajar di India pula pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain.

Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligrah, India Burhanuddin Al-Helmy telah mengembara ke Palestin dan Turki. Beliau mengikuti perkembangan umat Islam di sana.

Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy telah bergiat cergas dalam pergerakan-pergerakan Islam di pulau tersebut. Beliau menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British yang akibatnya dia ditahan oleh pihak British di sana. Selepas itu, Burhanuddin Al-Helmy terus bergiat pula dengan persatuan Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat.

Keluar Masuk Penjara



Selepas menamatkan pelajaran di India, Beliau meneruskan pengembaraan di Palestin dan Turki selama beberapa tahun. Disana beliau ditahan kerana didakwa terlibat dengan gerakan anti-British. Di Singapura, beliau menerbitkan majalah yang bercorakkan pemikiran anti-British. Pihak British bertindak menangkap beliau dan memenjarakan beliau selama enam bulan.

Ketika peristiwa Natrah pada tahun 1950, Burhanudin al-Helmy sekali lagi ditangkap diatas dakwaan terlibat didalam demonstrasi membantah keputusan mahkamah. (keputusan Mahkamah Tinggi SIngapura membenarkan keluarga asal Natrah aka Maria Hertogh di Belanda mengambil beliau. Secara tidak langsung ia akan menyebabkan konflik akidah kerana Natrah sudah dididik dengan didikan Islam sedangkan keluarganya beragama Kristian).

Ada yang berpendapat pihak British mencara alasan konkrit untuk menahan Burhanudin al-Helmy sejak sekian lama, diatas perjuangan beliau dalam menyedarkan penduduk Tanah Melayu supaya menentang British, menyokong pasukan gerila yang menentang British. Tambahan pula beliau berada di Singapura yang tidak tertakluk kepada undang-undang Darurat Tanah melayu ketika itu menyebabkan pihak British tidak dapat menahan beliau dalam menjalankan perjuangan.

Beliau ditahan juga selepas merdeka iaitu pada tahun 1963, keran menentang Gagasan Malaysia. Beliau ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan alasan terlibat dengan kerajaan buangan di Riau, Indonesia. Didalam tahanan kali ini kesihatan beliau merosot sehingga jatuh uzur. Ketika inilah beliau dibebaskan bersyarat dan dikenakan sekatan kawasan. Antara syarat pembebasan beliau ialah tidak dibenarkan aktif berpolitik. Syarat tersebut ditarik balik pada 22 September 1969.

Perjuangan Kemerdekaan dan Organisasi Politik Sebelum Menyertai PAS

Beliau bergiat aktif didalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang menentang penjajahan British. Beliau juga bekerjasama rapat dengan Ibrahim Haji Yaacob yang memimpin Kesatuan Rakyat Indonesia-Semenanjung dalam membuat pakatan bersama Soekarno (Presiden Pertama Indonesia) dan Mohd Hatta (pejuang kemerdekaan Indonesia) untuk mengisytiharkan kemerdekaan secara serentak di Indonesia dan Tanah Melayu pada 17 Ogos 1945. Rancangan ini gagal kerana situasi politik yang berbeza di Indonesia dan Tanah Melayu dimana Tanah Melayu beralih kepada ancaman komunis dan bintang Tiga sehingga memaksa Darurat diisytiharkan. Soekarno meneruskan rancangan pengisytiharan kemerdekaan Indonesia dari Belanda pada tarikh tersebut dan menjadi presiden Indonesia.

Beliau meneruskan perjuangan dengan Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya dan menjadi ketua umumnya yang pertama. Pidato dan ucapan beliau menjadi terkenal, selain pantun pusaka beliau yang menggambarkan keinginan dan keazaman penduduk Tanah Melayu untu merdeka.

Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.

PKMM sebagai sebuah gerakan yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan oleh British yang menyedari ancamannya keatas penguasaan British terhadap Tanah Melayu. Oleh itu Burhanudin al-Helmy membabitkan diri dalam beberapa organisasi perjuangan politik sepert PUTERA, PEPERMAS, MATA dan Hizbul Muslimin sepanjang tahun 1947-1948 demi meneruskan perjuangan mencapai kemerdekaan.

Ketika itu, organisasi-organisasi politik yang memperjuangkan kemerdekaan dan bersifat anti-British di label sebagai pergerakan berhaluan kiri. British mengambil tindakan yang serupa seperti yang mereka lakukan kepada PKMM iaitu dengan mengharamkan sebanyak-banyak pergerakan perjuangan kemerdekaan ketika itu. UMNO atau PEKEMBAR ketika itu mengambil langkah bekerjasama dan berdiplomasi dengan British. Slogan UMNO ketika itu ialah “Hidup Melayu’ sebelum ditukarkan kepada “Merdeka”. (boleh rujuk kepada biografi A. Samad Ahmad “Sejambak Kenangan”)

Menjadi Presiden PAS

Parti Islam Se-Malaya (PAS) adalah sebuah parti yang berkesinambungan dari gerakan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh British. Apabila PAS ditubuhkan, pergerakannya sebagai sebuah organisasi Islam diintip dan diawasi oleh British. Oleh itu PAS yang ditubuhkan secara bersama oleh intelektual Melayu Islam mengambil langkah bergerak secara bersederhana. YDP PAS yang pertama dan kedua iaitu Ustaz Ahmad Fuad dan Dr Haji Abas Alias tidak dapat memimpin lama diatas beberapa masalah dan komitmen yang perlu mereka utamakan. Oleh itu angkatan-angkatan muda di dalam PAS ketika itu bersetuju untuk menjemput Dr Burhanudin al-Helmy memegang jawatan nombor satu PAS tersebut.

Dr Burhanudin yang terkenal ketika itu sebagai pemimpin yang berani serta tinggi ilmunya dipandang paling layak untuk mengangkat PAS sebagai sebuah pergerakan Islam. Selain Dr Burhanudin, terdapat seorang tokoh lagi dijemput menyertai PAS iaitu Prof Zulkifli Muhammad, seorang intelek Melayu genius pada masa tersebut. Pertandingan kerusi tertinggi PAS pada masa tersebut adalah antara kedua-dua tokoh ilmuan tersebut. Jawatan YDP PAS akhirnya jatuh ke tangan Dr Burhanudin dan Prof Zulkifli Muhammad menjadi Naibnya.

Dibawah kepimpinan karismatik antara dua tokoh ini, PAS berjaya melonjakkan namanya sebagai sebuah pergerakan Islam yang berwibawa. Kerjasama antara kedua-dua tokoh tertinggi ini telah mengukuhkan asas PAS sebagai sebuah gerakan perjuangan Islam yang mewarisi perjuangan Hizbul Muslimin.

Beliau memimpin PAS paling lama berbanding mana-mana organisasi mahupun pergerakan politik yang pernah dianggotainya.

Sumbangan Kepada PAS

Beliau menggerakkan PAS secara sistematik dan strategis. Hasil dari kebijaksanaan beliau dalam memimpin dan berkempen, Kelantan dan Terengganu berjaya dikuasai PAS pada PRU 1959.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga telah mempertahankan amalan demokrasi di atas dasar Perlembagaan yang sedia ada. Di atas sebab itu beliau menentang penubuhan Malaysia. Baginya, penubuhan Malaysia adalah bertentangan dengan konsep Persekutuan yang memberi ruang yang luas bagi pembangunan setiap negeri di bawahnya.

Menurutnya, dengan wujudnya Malaysia, maka ”mahu tidak mahu Kelantan menjadi satu bahagian di bawah kekuasaan Malaysia”. Dr. Burhanuddin Al-Helmy mahu kerajaan Pusat bersikap lebih demokratik dengan merundingkan penubuhan Malaysia dengan kerajaan negeri terlebih dahulu. Di bawah pimpinannya, kerajaan PAS Kelantan telah mengheret isu Malaysia ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi penanguhan pembentukan Malaysia. Ternyata pendekatan dan ketokohan Dr. Burhanuddin Al-Helmy serta pemimpin-pemimpin PAS yang lain pada masa itu amat diterima rakyat, khasnya di kalangan kaum Melayu.

Pengaruh beliau dan PAS membimbangkan pemerintah ketika itu lalu beliau ditahan dari bertanding oleh SPR dengan mengisytiharkan Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak layak bertanding atas alasan telah didenda sebanyak $25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan.


Sumbangan kepada Gerakan Islam

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang pemimpin politik Islam yang mendahului zamannya. Beliau adalah seorang yang progresif, realistik, berpandangan global serta sentiasa bertindak berpandukan prinsip-prinsip Islam.

Beliau progresif kerana beliau menolak sebarang bentuk dan unsur kolonialisme. Motivasi utama dalam perjuangan politiknya dalah untuk memerdekan rakyat Tanah Melayu – bahkan seluruh bumi Asia – daripada penjajahan, sama ada penjajahan dari Barat mahupun dari Timur.

Beliau realistik kerana beliau sentiasa bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak – parti politik bukan Melayu atau bukan berasaskan Islam – yang memiliki cita-cita dan tujuan yang sama, iaitu untuk sama-sama mencapai matlamat perjuangan membebaskan rakyat daripada penjajahan.

Dari satu sudut Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang ahli politik yang bersikap praktikal dan realistik kalaupun tidak pragmatik. Pendekatannya terbuka. Pengalaman silamnya sebelum menerajui PAS yang sentiasa bersedia bekerjasama untuk mengejar cita-cita bersama – iaitu kemerdekaan – telah berjaya menempatkan PAS dalam kancah arus perdana politik negara pada masa itu. PAS dilihat ada kelainan tetapi tokoh PAS ini tidak lain dan asing bagi mereka yang sama-sama mahu mengejar cita-cita kemerdekaan. Pakatan politik yang diwujudkan olehnya dengan parti-parti bukan Melayu dan bukan berasaskan Islam telah melonjakkan PAS sebagai sebuah parti yang berjuang di atas satu ideologi yang jauh lebih jelas daripada UMNO.

Kelainan inilah yang sebut oleh pimpinan PAS hari ini sebagai aqidah perjuangan. Dalam bahasa Dr. Burhanuddin Al-Helmy ia disebut sebagai ideologi perjuangan. Ini kerana pada masa pemimpin-pemimpin UMNO terperangakap dengan persoalan politik perkauman dan perjuangan kebangsaan yang sempit, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy berjaya meyakinkan rakyat bahawa akar umbi masalah rakyat Tanah Melayu adalah warisan penjajahan yang berupa penindasan ekonomi dan politik serta sistem kapitalis global yang menindas dan memperhambakan pribumi tanah jajahan.
Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga mendedahkan kepincangan masyarakat apabila sejumlah elit politik pribumi bersekongkol melindungi dan mempertahankan penindasan sistem penjajah ini.

Karya, Sumbangan serta Akhir Hayatnya

Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menghasilkan buku yang bercorak politik antaranya:
• Perjuangan Kita, 1946
• Falsafah Kebangsaan Melayu, 1947
• Agama dan Politik, 1954,
• Ideologi Politik Islam, 1957 Namanya Diabadikan


Dr. Burhanuddin Al-Helmy meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 berpunca daripada serangan lelah. Sebenarnya Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah jatuh sakit semasa dalam tahanan ISA. Ketika beliau dibebaskan dengan sekatan kawasan pada tahun 1966, penyakitnya masih belum sembuh. Namanya diabadikan di sebuah sekolah di Taiping dan nama jalan di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, Selangor.

Beliau dianugerah pingat emas Commander of World Order of Human Merit daripada I’Ordre Universal du Merit Human, Geneva pada 15 November 1959 di atas sumbangannya dalam pembangunan perubatan homeopati.
_________________________________
http://pekanawah.wordpress.com/2007/08/28/tokoh-kemerdekaan-burhanuddin-al-helmy/
http://en.wikipedia.org/wiki/Burhanuddin_al-Helmy