Wednesday 14 August 2013

As-Syahid Imam Hassan al-Banna: Pemikir dan Pencetus Pergerakan Persaudaraan Muslimin Sedunia (Ikhwanul Muslimin)

Siapa Hasan al-Banna
Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna atau ringkasnya Hassan al-Banna adalah pendakwah, reformis sosial dan politik Mesir dan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin. Pada usia 12 tahun, beliau sudah menghafal al-Quran. Beliau menyertai kumpulan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolah. Beliau rajin menghadiri majlis-majlis zikir pimpinan al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Pada usia 23 tahun, beliau menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Islamailiyyah pada Mac 1928. Hasil kegigihan beliau, gerakan dakwah beliau mendapat sambutan di Mesir dan di setiap pelusuk negara-negara Islam. Pada tahun 12 Februari 1949 beliau meninggal dunia setelah ditembak mati oleh seorang pembunuh upahan arahan sulit kerajaan Mesir ketika itu.

Kehidupan awal
Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati. Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin. Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaansemasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British.

Pada tahun 1923 ketika berusia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sebuah sekolah latihan perguruan di Kaherah. Kehidupan di ibu negara Mesir menawarkannya peluang yang lebih luas berbanding di kampung serta bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya). Walau bagaimanapun, beliau amat terganggu dan tidak senang dengan pengaruh kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular yang terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional. Hassan al Banna turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka terhadap peningkatan atheisme dan pengaruh mubaligh Kristian.

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah berunsurkan Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat seperti di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai. Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.

Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, beliau menulis bahawa beliau bercadang untuk menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak agar dapat mengajar mereka mengenai matlamat "agama adalah sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Beliau mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, sebuah bandar yang terletak di Zon Terusan Suez.

Keluarga dan Latar Belakang Beliau
Bapanya, Syeikh Ahmad al-Banna merupakan seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal berkelulusan Universiti Al-Azhar yang menulis serta menyumbang kepada penulisan kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam. Bapa beliau juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.

Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada 1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.

Keperibadian Beliau
Ahmad Saiful Islam, anak lelaki Hassan al Banna, menceritakan bagaimana beberapa sifat peribadi Hassan al Bannan semasa beliau masih hidup lagi. Antaranya beliau sangat menjaga dan memerhati perkembangan anak-anaknya. Setiap anaknya mempunyai fail khas yang ditulis oleh beliau sendiri. Di dalam fail tersebut terkandung maklumat seperti maklumat-maklumat perubatan anak-anaknya, sijil-sijil pelajaran bersertakan catitan-catitan tentang kemajuan pembelajaran mereka. Hukuman yang paling berat pernah beliau kenakan kepada anak-anaknya hanyalah cubit telinga. Sifat pemurah kepada anak-anaknya dilihat apabila beliau memberikan wang saku kepada mereka sebanyak 3 Qurusy berbanding kanak-kanak lain yang puratanya mendapat suku atau setengah Qurusy sahaja daripada ibu bapa mereka.

Beliau menyediakan satu perpustakaan khas buat Ahmad Saiful Islam. Ini adalah antara proses pentarbiahan beliau kepadanya. Beliau tidak melarang Saiful Islam membaca apa-apa jenis bahan bacaan, malahan memberi bacaan lebih baik untuk dibaca oleh Saiful apabila selesai membaca bahan bacaan diminatinya.

Penubuhan "Ikhwanul Muslimun" dan Kegiatan Dakwah
Pada Mac 1928, Syeikh Hassan al-Banna telah menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah. Ketika itu beliau berusia 23 tahun. Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, beliau melaksanakan matlamatnya dengan memberi kelas malam kepada keluarga anak muridnya. Beliau juga berceramah di masjid, malah dikedai kopi, yang pada masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat dengan elit keagamaan tempatan dan beliau mengamalkan polisi mengelakkan kontrovesi agama. Beliau sedih dengan tanda-tanda jelas pengawalan ketenteraan dan ekonomi di Isma'iliyya seperti kem ketenteraan British, kemudahan awam yang dimiliki oleh kepentingan luar dan tempat tinggal mewah milik pekerja syarikat Terusan Suez yang bersebelahan dengan rumah haram pekerja Mesir. 

Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik. Pengaruh Ikhwan yang semakin kuat amat dikhuatiri dan ditakuti oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu, Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan.

Kesyahidan Hasan al-Banna
Usaha dan perjuangan beliau yang masih belum selesai menemui titik noktahnya akibat dari kesyahidan beliau akibat ditembak pada waktu tengah hari 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan pertubuhan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin. Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri. Kini perjuangan beliau diteruskan oleh pemimpin-pemimpin dan ahli Ikhwanul Muslimin seluruh dunia.

Sheikh Muhammad Said al-Linggi: Ulama Sufi Pedoman Masyarakat

Tokoh Ulama Terkemuka Nusantara

Nama penuhnya tokoh besar ini ialah Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin. Beliau adalah anak Tuan Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda. Ibunya Hajah Safiah Haji Muhamad Saleh Al Fatani berasal dari Patani, seorang pembaca Al Quran yang terkenal dan pernah menjadi guru qiraati semasa di Mekah. Datuknya Haji Muhamad Saleh juga seorang ulama terkenal dan berkahwin dengan Mariam, anak kepada ulama Sheikh Abdul Rashid Al Fatani.

Tempat Lahir

Allahyarham ini dilahirkan di Kota Mekah di Kampung Shaab Ali atau disebut juga Syi'b Ali pada hari Sabtu 4 Syaaban 1292H bersamaan 25 atau 18 September 1871( kiraan penyusun) tetapi catatan Nawawi Haji Indek dalam tahun 1873 dan Ismail Che Daud pada 1875. kemudiannya beliau dibawa balik ke Patani dalam tahun 1882 ketika berusia 7 tahun. Di sana Muhamad Said dipelihara oleh ibu dan neneknya ( Mariam).

Pendidikan

Tokoh yang kita bicarakan ini memang bertuah kerana dilahirkan dalam rumah tangga orang-orang alim. Ibunya adalah pendidik awal kepada Muhamad Said hingga berjaya membentuk jiwanya berkeperibadian luhur dan mulia. Selepas itu dia mula berguru dengan beberapa ulama di Patani seperti Sheikh Zainal Abidin Muhamad ( Tuan Minal), Haji Awang @ Dato' Semela, Dato' Nahu dan Sheikh Muhamad Nuh dari Kedah. Kecerdasan dan ketekunannya dalam menuntut ilmu begitu terserlah.

Diriwayatkan apabila usianya menjangkau 17 tahun, beliau pun belayarlah ke Mekah Al Mukarramah tempat ianya dilahirkan. Di Mekah, Muhamad Said menuntut ilmu agama kepada lebih 50 orang guru. Antara guru-gurunya ialah Sheikh Muhamad Sulaiman, Hasbullah al Maliki, Muhamad Nawawi al Batani dan ramai lagi. Beliau juga sempat berguru dengan Sheikh Jafar al Barzanji di Madinah. Ketika di Al Azhar pula, beliau mengaji dengan Sheikhul Azhar ketika itu Sheikh Al Ambabei dan Sheikh Ahmad Al Rifa'i Al Maliki dalam tahun 1896.
Sekembalinya beliau ke Mekah, dia telah mengambil tarekat dengan Sheikh Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi dan mendapat ijazah Tarekat Ahmadiah pada tahun 1318 Hijrah ( 1901). Beliau dikatakan alim dalam ilmu alat, usulludin, fiqh 4 mazhab, ilmu rohani, hikmat, falsafah dan lain-lain lagi.

Balik Ke Tanahair

Terdapat perbezaan tarikh jangkaan beliau balik ke tanahair. Dalam catatan Ismail Che Daud dinyatakan beliau kembali sekitar tahun 1902/ 1320 H. Bagi Nawawi Hj Indek pula pada tahun 1900 sewaktu ia berusia 27 tahun. Beliau telah menetap di Ampangan, Seremban dan mula mengajar agama serta menyibarkan tarekat Ahmadiah. Sheikh Haji Muhamad Said adalah khalifah atau wakil peribadi Sheikh Muhamad Al Dandarawi bagi kepulauan Melayu atau tanah Jawi. Pondoknya dibina di Ampangan, Seremban. Pondok ini dikatakan yang pertama diwujudkan di negeri ini dan ramai murid-murid dari serata tempat dalam Negeri Sembilan dan luar datang memondok di sana. Selain dari itu beliau juga keluar memberi kuliah di masjid dan surau.

Dalam menjalankan kerja dakwah dan mengajar agama kepada anak bangsanya, beliau terpaksa menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai daie. Apatah lagi ketika suasana negeri masih terjajah dan serba mundur yang menyebabkan peluang mendapatkan pendidikan khasnya ilmu agama amat terbatas. Kedudukan kawasan penempatan yang sukar dihubungi, jauh dan tiada tokoh-tokoh agama memimpin boleh menyebabkan budaya khurafat, bidaah dan adat-adat menyalahi syariat berleluasa. Kita amat bersyukur apabila ada ulama yang tampil membawa suluh memimpin ummah dari dahulu hingga sekarang. Ramai kalangan orang-orang alim waktu itu membuka kelas pengajian agama atau membina pondok untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu agama. Muhamad Said turut mengikuti jejak langkah bapanya Sheikh Jamaluddin Haji Idris dengan membuka pondok pengajian.

Beliau juga merantau banyak tempat seperti di Indo China, Siam, Kedah, Pahang, Singapura dan Kelantan dalam kegiatan dakwah disamping menyibarkan tarekat Ahmadiahnya. Difahamkan ada sebuah masjid yang diasaskan oleh Sheikh Muhamad Said di Bangkok dan beliau turut mengislamkan seorang Raja Siam. Kisah menarik raja menganut Islam ini bermula apabila raja tersebut bermimpi bertemu seorang yang mulia yang mukanya berseri-seri. Baginda telah memanggil seorang sami besar untuk mentafsirkan mimpinya. Sami tersebut menyarankan supaya baginda bertanya kepada seorang alim Islam yang menurut pandangannya akan datang ke negeri itu. Sheikh Muhamad Said dalam perjalanan dakwahnya ke Siam telah dijemput ke istana dan dipendekkan cerita, beliau telah mentafsirkan lelaki mulia dalam mimpi raja itu ialah Rasulullah SAW. Selepas itulah raja itu diislamkan oleh Sheikh Muhamad Said.

Pernah berlaku di Kelantan dalam tahun 1905, berlaku kegemparan kalangan rakyat negeri lantaran pembawaan Tarekat Ahmadiah cara Sheikh Muhamad Said. Kaedah zikir tarekatnya boleh menimbulkan keasyikan atau seakan mabuk. Ramai ulama tempatan menentang gaya ini. Ekoran dari kegemparan ini Sultan Kelantan ketika itu telah menulis surat bertarikh 12 November 1905 kepada tokoh ulama Kelantan yang bermukim di Mekah iaitu Wan Ahmad Haji Wan Din ( Wan Muhamad Zainal Abidin) untuk mendapat penjelasan atas kegemparan tersebut.

Sheikh Muhammad Said juga dianggap pembenteng aliran kaum tua kerana beliau tidak memberi tempat kepada pengaruh kaum muda atau lebih dikenali Wahabi itu meluaskan pengaruhnya di negeri ini. Malah dalam manakib Sheikh Muhamad Said Al Linggi ada menyatakan pandangan dan bidasan beliau yang keras terhadap aliran ini. Walau bagaimanapun, penyusun tidak berhasrat untuk menyentuh perbezaan pendapat aliran-aliran tersebut di ruangan ini kerana beberapa tokoh dalam bibliografi ini ada juga kalangan ulama aliran kaum muda yang mempunyai peranan besar dalam meninggikan syiar Islam di negeri ini. Kita berdoa agar ulama yang berjasa besar tersebut mendapat limpahan rahmah dari Allah SWT jua.

Perkahwinan

Sheikh Muhamad Said ketika di Kelantan menetap di rumah mertuanya Haji Awang Alim di Kota Bharu. Beliau berkahwin dengan Hajah Safiah Haji Awang semasa di Mekah lagi. Menurut riwayatnya, Sheikh Muhamad Said pernah berkahwin sebanyak 9 kali dan mempunyai anak seramai 32 orang. Zuriatnya ramai menjadi tokoh-tokoh agama yang disegani sehingga sekarang. Umum telah mengetahui bahawa tokoh ini amat warak dan dianggap sebagai wali Allah lantaran beberapa kelebihan semasa hidupnya. Orangnya berkeperibadian sederhana, zuhud, kuat beribadah dan suka menolong orang susah. Dikatakan Almarhum Tuanku Muhamad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ( 1888 - 1933 ) dan Dato' Kelana Ma'mur ( 1889 - 1945 ) sangat menghormati dan mengasihi Sheikh ini. Malah pernah ditawarkan jawatan kadhi tetapi beliau menolaknya. 

Kitab-Kitab dan Karya Beliau

Semasa hayatnya, ulama terbilang ini kerap menjadi rujukan dalam permasalahan agama. Beliau juga banyak meninggalkan hasil tangan berupa kitab-kitab seperti berikut:

1. Syarh Kunuz al Jawahir al Nuraniyat Fi Qawaid al Tariqat al Shadhiliyah ( 1905).
2. Al Ahzab al ‘Irfaniyyat Wa al Awrad al Nuraniyah ( 1905).
3. Kashf al Ghiba an Haqiqat al iba.
4. Risalah Fath.
5. Sullam al Ta'rif ila ‘llm al Tasrif.
6. Manuskrip Syair Arab, berkaitan kupasan tentang permasalahan golongan Wahabi.

Meninggal Dunia

Pada 12 R'awal 1345 bersamaan 20 September 1926, Ulama terbilang ini menghembuskan nafas terakhirnya. Jasadnya dihantar ke tanah perkuburan berhampiran Kebun Bunga Seremban oleh ribuan anak muridnya termasuk Almarhum Tuanku Muhamad sendiri.

Sunday 11 August 2013

Salman Al-Farisi: Lelaki Yang Memiliki Dua Kitab (Injil dan Al-Quran)

Nama panggilannya adalah Abu Abdillah dan digelari dengan ” Salman Al-Khair”. Salman dihormati sebagai seorang yang luas ilmu pengetahuan dan bijaksana. Tentang Salman, Nabi pernah mengatakan,
”Syurga merindukan tiga orang, yakni Ali bin Abi Thalib, Ammar bin Yasir, dan Salman Al-Farisi.” 
Sementara Ali bin Abi Thalib pernah berkata,
”Siapa orang yang kamu miliki yang seperti Lukman Al-Hakim? Ia diberi pengetahuan tentang syariat terdahulu dan syariat yang turun kemudian; ia membaca dan mempelajari kitab suci yang terdahulu dan kitab suci yang turun paling akhir. Ilmunya bak lautan yang tidak pernah kering.” 
Beliau adalah orang yang pertama menterjemah al-Quran ke bahasa asing (Parsi). Beliau juga yang memberi idea untuk membina parit di sekeliling kota Madinah ketika perang Khandak.

Salman datang dari keluarga yang kaya-raya sebelum memeluk Islam. Dia sanggup meninggalkan kehidupan yang serba mewah , dan menjadi hamba abdi semata-semata kerana ingin mencari kebenaran. Kegigihannya mencari hidayah telah diceritakan dalam satu hadis:

Latar Belakang Sebelum Memeluk Islam

Dari Abdullah bin Abbas Radliyallahu ‘Anhuma berkata, “Salman al-Farisi Radliyallahu ‘Anhu menceritakan biografinya kepadaku dari mulutnya sendiri. Kata Salman, “Saya pemuda Parsi, penduduk kota Isfahan, berasal dari desa Jayyan. Bapaku pemimpin Desa. Orang terkaya dan berkedudukan tinggi di situ. Aku adalah insan yang paling disayangi ayah sejak dilahirkan. Kasih sayang beliau semakin bertambah seiring dengan peningkatan usiaku, sehingga kerana teramat sayang, aku dijaga di rumah seperti anak gadis.

Aku mengabdikan diri dalam Agama Majusi (yang dianut ayah dan bangsaku). Aku ditugaskan untuk menjaga api penyembahan kami supaya api tersebut sentiasa menyala.

Ayahku memiliki kebun yang luas, dengan hasil yang banyak Kerana itu beliau menetap di sana untuk mengawasi dan memungut hasilnya. Pada suatu hari bapa pulang ke desa untuk menyelesaikan suatu urusan penting. Beliau berkata kepadaku, “Hai anakku! Bapa sekarang sangat sibuk. Kerana itu pergilah engkau mengurus kebun kita hari ini menggantikan Bapa.”

Aku pergi ke kebun kami. Dalam perjalanan ke sana aku melalui sebuah gereja Nasrani. Aku mendengar suara mereka sedang sembahyang. Suara itu sangat menarik perhatianku.

Sebenarnya aku belum mengerti apa-apa tentang agama Nasrani dan agama-agama lain. Kerana selama ini aku dikurung bapa di rumah, tidak boleh bergaul dengan siapapun. Maka ketika aku mendengar suara mereka, aku tertarik untuk masuk ke gereja itu dan mengetahui apa yang sedang mereka lakukan. Aku kagum dengan cara mereka bersembahyang dan ingin menyertainya.

Kataku, “Demi Allah! ini lebih bagus daripada agama kami.”Aku tidak berganjak dari gereja itu sehinggalah petang. Sehingga aku terlupa untuk ke kebun.

Aku bertanya kepada mereka, “Dari mana asal agama ini?”

“Dari Syam (Syria),” jawab mereka.

Setelah hari senja, barulah aku pulang. Bapa bertanyakan urusan kebun yang ditugaskan beliau kepadaku.

Jawabku, “Wahai, Bapa! Aku bertemu dengan orang sedang sembahyang di gereja. Aku kagum melihat mereka sembahyang. Belum pernah aku melihat cara orang sembahyang seperti itu. Kerana itu aku berada di gereja mereka sampai petang.”

Bapa menasihati akan perbuatanku itu. Katanya, “Hai, anakku! Agama Nasrani itu bukan agama yang baik. Agamamu dan agama nenek moyangmu (Majusi) lebih baik dari agama Nasrani itu!”

Jawabku, “Tidak! Demi Allah! Sesungguhnya agama merekalah yang lebih baik dari agama kita.”

Bapa khuatir dengan ucapanku itu. Dia takut kalau aku murtad dari agama Majusi yang kami anuti. Kerana itu dia mengurungku dan membelenggu kakiku dengan rantai.

Ketika aku beroleh kesempatan, kukirim surat kepada orang-orang Nasrani minta tolong kepada mereka untuk memaklumkan kepadaku andai ada kafilah yang akan ke Syam supaya memberitahu kepadaku. Tidak berapa lama kemudian, datang kepada mereka satu kafilah yang hendak pergi ke Syam. Mereka memberitahu kepadaku.

Maka aku berusaha untuk membebaskan diri daripada rantai yang membelengu diriku dan melarikan diri bersama kafilah tersebut ke Syam.

Sampai di sana aku bertanya kepada mereka, “Siapa kepala agama Nasrani di sini?”

“Uskup yang menjaga “jawab mereka.

Aku pergi menemui Uskup seraya berkata kepadanya, “Aku tertarik masuk agama Nasrani. Aku bersedia menjadi pelayan anda sambil belajar agama dan sembahyang bersama-sama anda.”

‘Masuklah!” kata Uskup.
Aku masuk, dan membaktikan diri kepadanya sebagai pelayan.

Setelah beberapa lama aku berbakti kepadanya, tahulah aku Uskup itu orang jahat. Dia menganjurkan jama’ahnya bersedekah dan mendorong umatnya beramal pahala. Bila sedekah mereka telah terkumpul, disimpannya saja dalam perbendaharaannya dan tidak dibahagi-bahagikannya kepada fakir miskin sehingga kekayaannya telah berkumpul sebanyak tujuh peti emas.

Aku sangat membencinya kerana perbuatannya yang mengambil kesempatan untuk mengumpul harta dengan duit sedekah kaumnya. tidak lama kemudian dia meninggal. Orang-orang Nasrani berkumpul hendak menguburkannya.

Aku berkata kepada mereka, ‘Pendeta kalian ini orang jahat. Dianjurkannya kalian bersedekah dan digembirakannya kalian dengan pahala yang akan kalian peroleh. Tapi bila kalian berikan sedekah kepadanya disimpannya saja untuk dirinya, tidak satupun yang diberikannya kepada fakir miskin.”

Tanya mereka, “Bagaimana kamu tahu demikian?”

Jawabku, “Akan kutunjukkan kepada kalian simpanannya.”

Kata mereka, “Ya, tunjukkanlah kepada kami!”

Maka kuperlihatkan kepada mereka simpanannya yang terdiri dan tujuh peti, penuh berisi emas dan perak. Setelah mereka saksikan semuanya, mereka berkata, “Demi Allah! Jangan dikuburkan dia!”

Lalu mereka salib jenazah uskup itu, kemudian mereka lempari dengan batu. Sesudah itu mereka angkat pendeta lain sebagai penggantinya. Akupun mengabdikan diri kepadanya. Belum pernah kulihat orang yang lebih zuhud daripadanya. Dia sangat membenci dunia tetapi sangat cinta kepada akhirat. Dia rajin beribadat siang malam. Kerana itu aku sangat menyukainya, dan lama tinggal bersamanya.

Ketika ajalnya sudah dekat, aku bertanya kepadanya, “Wahai guru! Kepada siapa guru mempercayakanku seandainya guru meninggal. Dan dengan siapa aku harus berguru sepeninggalan guru?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Tidak seorang pun yang aku tahu, melainkan seorang pendeta di Mosul, yang belum merubah dan menukar-nukar ajaran-ajaran agama yang murni. Hubungi dia di sana!”

Maka tatkala guruku itu sudah meninggal, aku pergi mencari pendeta yang tinggal di Mosul. Kepadanya kuceritakan pengalamanku dan pesan guruku yang sudah meninggal itu.

Kata pendeta Mosul, “Tinggallah bersama saya.”

Aku tinggal bersamanya. Ternyata dia pendeta yang baik. Ketika dia hampir meninggal, aku berkata kepada nya, “Sebagaimana guru ketahui, mungkin ajal guru sudah dekat. Kepada siapa guru mempercayai seandainya guru sudah tiada?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Demi Allah! Aku tak tahu orang yang seperti kami, kecuali seorang pendeta di Nasibin. Hubungilah dia!”

Ketika pendeta Mosul itu sudah meninggal, aku pergi menemui pendeta di Nasibin. Kepadanya kuceritakan pengalamanku serta pesan pendeta Mosul.
Kata pendeta Nasibin, “Tinggallah bersama kami!”

Setelah aku tinggal di sana, ternyata pendeta Nasibin itu memang baik. Aku mengabdi dan belajar dengannya sehinggalah beliau wafat. Setelah ajalnya sudah dekat, aku berkata kepadanya, “Guru sudah tahu perihalku maka kepada siapa harusku berguru seandainya guru meninggal?”

Jawabnya, “Hai, anakku! Aku tidak tahu lagi pendeta yang masih memegang teguh agamanya, kecuali seorang pendeta yang tinggal di Amuria. Hubungilah dia!”

Aku pergi menghubungi pendeta di Amuria itu. Maka kuceritakan kepadanya pengalamanku.

Katanya, “Tinggallah bersama kami!
Dengan petunjuknya, aku tinggal di sana sambil mengembala kambing dan sapi. Setelah guruku sudah dekat pula ajalnya, aku berkata kepadanya, “Guru sudah tahu urusanku. Maka kepada siapakah lagi aku akan anda percayai seandainya guru meninggal dan apakah yang harus kuperbuat?”

Katanya, “Hai, anakku! Setahuku tidak ada lagi di muka bumi ini orang yang berpegang teguh dengan agama yang murni seperti kami. Tetapi sudah hampir tiba masanya, di tanah Arab akan muncul seorang Nabi yang diutus Allah membawa agama Nabi Ibrahim.

Kemudian dia akan berpindah ke negeri yang banyak pohon kurma di sana, terletak antara dua bukit berbatu hitam. Nabi itu mempunyai ciri-ciri yang jelas. Dia mahu menerima dan memakan hadiah, tetapi tidak mahu menerima dan memakan sedekah. Di antara kedua bahunya terdapat tanda kenabian. Jika engkau sanggup pergilah ke negeri itu dan temuilah dia!”

Setelah pendeta Amuria itu wafat, aku masih tinggal di Amuria, sehingga pada suatu waktu segerombolan saudagar Arab dan kabilah “Kalb” lewat di sana. Aku berkata kepada mereka, “Jika kalian mahu membawaku ke negeri Arab, aku berikan kepada kalian semua sapi dan kambing-kambingku.”

Jawab mereka, “Baiklah! Kami bawa engkau ke sana.”
Maka kuberikan kepada mereka sapi dan kambing peliharaanku semuanya. Aku dibawanya bersama-sama mereka. Sesampainya kami di Wadil Qura aku ditipu oleh mereka. Aku dijual kepada seorang Yahudi. Maka dengan terpaksa aku pergi dengan Yahudi itu dan berkhidmat kepadanya sebagai hamba. Pada suatu hari anak saudara majikanku datang mengunjunginya, iaitu Yahudi Bani Quraizhah, lalu aku dibelinya daripada majikanku.

Aku berpindah ke Yastrib dengan majikanku yang baru ini. Di sana aku melihat banyak pohon kurma seperti yang diceritakan guruku, Pendeta Amuria. Aku yakin itulah kota yang dimaksud guruku itu. Aku tinggal di kota itu bersama majikanku yang baru.

Ketika itu Nabi yang baru diutus sudah muncul. Tetapi baginda masih berada di Makkah menyeru kaumnya. Namun begitu aku belum mendengar apa-apa tentang kehadiran serta da’wah yang baginda sebarkan kerana aku terlalu sibuk dengan tugasku sebagai hamba.

Tidak berapa lama kemudian, Rasulullah saw. berpindah ke Yastrib. Demi Allah! Ketika itu aku sedang berada di puncak pohon kurma melaksanakan tugas yang diperintahkan majikanku. Dan majikanku itu duduk di bawah pohon. Tiba-tiba datang anak saudaranya mengatakan, “Biar mampus Bani Qaiah!( kabilah Aus dan Khazraj) Demi Allah! Sekarang mereka berkumpul di Quba’ menyambut kedatangan lelaki dari Makkah yang mendakwa dirinya Nabi.”

Mendengar ucapannya itu badanku terasa panas dingin seperti demam, sehingga aku menggigil kerananya. Aku kuatir akan jatuh dan tubuhku akan menimpa majikanku. Aku segera turun dari puncak pohon, lalu bertanya kepada tamu itu, “Apa khabar anda? Cubalah khabarkan kembali kepadaku!”

Majikanku marah dan memukulku seraya berkata, “Ini bukan urusanmu! Kerjakan tugasmu kembali!”

Keesokannya aku mengambil buah kurma seberapa banyak yang mampu kukumpulkan. Lalu kubawa ke hadapan Rasulullah saw..

Kataku “Aku tahu tuan orang soleh. Tuan datang bersama-sama sahabat tuan sebagai perantau. Inilah sedikit kurma dariku untuk sedekahkan kepada tuan. Aku lihat tuanlah yang lebih berhak menerimanya daripada yang lain-lain.” Lalu aku hulurkan kurma itu ke hadapannya.

Baginda berkata kepada para sahabatnya, “silakan kalian makan,…!” Tetapi baginda tidak menyentuh sedikit pun makanan itu apalagi untuk memakannya.

Aku berkata dalam hati, “Inilah satu di antara ciri cirinya!”

Kemudian aku pergi meninggalkannya dan kukumpulkan pula sedikit demi sedikit kurma yang terdaya kukumpulkan. Ketika Rasulullah saw. pindah dari Quba’ ke Madinah, kubawa kurma itu kepada baginda.

Kataku, “Aku lihat tuan tidak mahu memakan sedekah. Sekarang kubawakan sedikit kurma, sebagai hadiah untuk tuan.”

Rasulullah saw. memakan buah kurma yang kuhadiahkan kepadanya. Dan baginda mempersilakan pula para sahabatnya makan bersama-sama dengannya. Kataku dalam hati, “ini ciri kedua!”

Kemudian kudatangi baginda di Baqi’, ketika baginda menghantar jenazah sahabat baginda untuk dimakamkan di sana. Aku melihat baginda memakai dua helai kain. Setelah aku memberi salam kepada baginda, aku berjalan mengekorinya sambil melihat ke belakang baginda untuk melihat tanda kenabian yang dikatakan guruku.

Agaknya baginda mengetahui maksudku. Maka dijatuhkannya kain yang menyelimuti belakangnya, sehingga aku melihat dengan jelas tanda kenabiannya.

Barulah aku yakin, dia adalah Nabi yang baru diutus itu. Aku terus memeluk bagindanya, lalu kuciumi dia sambil menangis.

Tanya Rasulullah, “Bagaimana khabar Anda?”

Maka kuceritakan kepada beliau seluruh kisah pengalamanku. Beliau kagum dan menganjurkan supaya aku menceritakan pula pengalamanku itu kepada para sahabat baginda. Lalu kuceritakan pula kepada mereka. Mereka sangat kagum dan gembira mendengar kisah pengalamanku.

Berbahagialah Salman Al-Farisy yang telah berjuang mencari agama yang hak di setiap tempat. Berbahagialah Salman yang telah menemukan agama yang hak, lalu dia beriman dengan agama itu dan memegang teguh agama yang diimaninya itu. Berbahagialah Salman pada hari kematiannya, dan pada hari dia dibangkitkan kembali kelak.

Salman sibuk bekerja sebagai hamba. Dan kerana inilah yang menyebabkan Salman terhalang mengikuti perang Badar dan Uhud. “Rasulullah saw. suatu hari bersabda kepadaku, “Mintalah kepada majikanmu untuk bebas, wahai Salman!” Maka majikanku membebaskan aku dengan tebusan 300 pohon kurma yang harus aku tanam untuknya dan 40 uqiyah.

Kemudian Rasulullah saw. mengumpulkan para sahabat dan bersabda, “Berilah bantuan kepada saudara kalian ini.” Mereka pun membantuku dengan memberi pohon (tunas) kurma. Seorang sahabat ada yang memberiku 30 pohon, atau 20 pohon, ada yang 15 pohon, dan ada yang 10 pohon, setiap orang sahabat memberiku pohon kurma sesuai dengan kadar kemampuan mereka, sehingga terkumpul benar-benar 300 pohon.

Setelah terkumpul Rasulullah saw. bersabda kepadaku, “Berangkatlah wahai Salman dan tanamlah pohon kurma itu untuk majikanmu, jika telah selesai datanglah kemari aku akan meletakkannya di tanganku.”

Aku pun menanamnya dengan dibantu para sahabat. Setelah selesai aku menghadap Rasulullah saw. dan memberitahukan perihalku, Kemudian Rasulullah saw. keluar bersamaku menuju kebun yang aku tanami itu. Kami dekatkan pohon (tunas) kurma itu kepada baginda dan Rasulullah saw. pun meletakkannya di tangan baginda. Maka, demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, tidak ada sebatang pohon pun yang mati.

Untuk tebusan pohon kurma sudah dipenuhi, aku masih mempunyai tanggungan wang sebesar 40 uqiyah. Kemudian Rasulullah saw. membawa emas sebesar telur ayam hasil dari rampasan perang. Lantas baginda bersabda, “Apa yang telah dilakukan Salman al-Farisi?”

Kemudian aku dipanggil baginda, lalu baginda bersabda, “Ambillah emas ini, gunakan untuk melengkapi tebusanmu wahai Salman!”

“Wahai Rasulullah saw., bagaimana status emas ini bagiku? Soalku inginkan kepastian daripada baginda.

Rasulullah menjawab, “Ambil saja! Insya Allah, Allah Subhanahu wa Ta’ala akan memberi kebaikan kepadanya.” Kemudian aku menimbang emas itu. Demi jiwa Salman yang berada di tanganNya, berat ukuran emas itu 40 uqiyah. Kemudian aku penuhi tebusan yang harus aku serahkan kepada majikanku, dan aku dimerdekakan.

Setelah itu aku turut serta bersama Rasulullah saw. dalam perang Khandaq, dan sejak itu tidak ada satu peperangan yang tidak aku ikuti.’

(HR. Ahmad, 5/441; ath-Thabrani dalam al-Kabir(6/222); lbnu Sa’ad dalamath-Thabagat, 4/75; al-Balhaqi dalam al-kubra, 10/323.)

Kehidupan Selepas Kewafatan Rasulullah SAW

Beliau dilantik sebagai gabenor di Al-Madain yang terletak berdekatan Baghdad. Salman mendapat gaji sebanyak lima ribu dirham. Semua wang tersebut disedekahkannya kepada fakir miskin. Beliau menyara hidup dengan bekerja sendiri. Bila beberapa orang datang ke Madain dan melihat beliau bekerja di sebuah kebun kurma, mereka berkata:
“Tuan adalah amir di sini dan rezeki tuan sudah dijamin, tetapi tuan masih melakukan pekerjaan ini!”
“Aku suka memakan hasil dari kerjaku sendiri,” jawabnya.
Satu hari ketika sedang berjalan di sebatang jalan, dia didatangi seorang lalaki dari Syiria menanggung sebakul buah tin dan kurma dalam keadaan sukar dan lelah. Lelaki itu tidak mengenali Salman, lalu meminta Salman turut membawa bakul buah itu bersama ke tempat yang dituju.

Salman dengan rela hati melakukanya.

Dalam perjalanan itu, lelaki bersama Salman yang merengkuh membawa buah-buah itu bertembung dengan satu rombongan. Salman memberi salam. Rupanya rombongan itu mengenali Salman sebagai Amir.

Maka guguplah lelaki yang meminta Salman membawa buah-buahnya. Lalu lelaki itu pun meminta maaf dan meminta semula bakul-bakul yang dibawa oleh Salman.

Salman segera menjawab: “ Tidak, biar aku aku hantar sampai ke rumahmu.”

Salman seorang yang zuhud dan gemar hidup secara susah. Beliau tidak suka tinggal di bawah bumbung, sebaliknya hanya berlindung di bawah pokok atau di tepi dinding. Beliau hanya mempunyai sehelai baju luar.

Suatu hari seorang lelaki telah berkeras untuk mendirikannya sebuah rumah dari lebihan bangunan. Salman bertanya kepada tukang rumahnya:

“ Bagaimana bentuk yang kamu hendak dirikan rumah ini?”

Tukang rumah itu sememangnya tahu Salman orang yang sederhana dan bukan dari orang yang suka bermewah-mewah, lalu dikatakan kepada Salman:

“ Janganlah tuan bimbang, rumah yang akan saya lakukan ini, hanya untuk berteduh ketika panas dan berlindung ketika hujan. Jika tuan berdiri, kepala tuan akan menyentuhi langit bumbung dan jika tuan berbaring, kaki tuan akan terhantuk kepada dinding.”

Dengan selamba Salman berkata:

“Betul tu, begitulah yang saya mahu.”

Kewafatan Salman

Salman al-Farisi r.a diyakini wafat pada 35 hijrah pada pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib.

Saturday 10 August 2013

Epik Gilgamesh- Lagenda dan Mitos Raja Segala Wira

He who (the heart of) all matters hath proven let him [teach] the nation,
[He who all] knowledge possesseth, therein shall he [school] all the people,
[He shall his wisdom impart (?)] and (so) shall they ]share it] together.
[Gilgamish(?)] 2—he was the [Master] of wisdom, with [knowledge of all things,
5.He ’twas discovered the secret concealed . . . . . . . . .
(Aye), handed down the tradition relating to (things) prediluvian,
Went on a journey afar, (all) aweary and [worn with his toiling(?)],
10.[Graved] on a table of stone all the travail.

Epik Gilgamesh merupakan antara kesusasteraan yang terawal ditulis oleh manusia yang terselamat - ditulis sekitar awal ketamadunan Mesopotamia (kawasan yang meliputi tanah antara Sungai Tigris dan Sungai Furat pada hari ini). Kisah ini berkisarkan pengembaraan seorang putera raja, Gilgamesh yang memiliki tubuh demigod (1/3 manusia dan 2/3 dewa).

Berdasarkan sejarah kerajaan Uruk yang memerintah pada ketamadunan Mesopotamia, Gilgamesh adalah raja kelima bagi kerajaan Uruk. Baginda dikenang sebagai wira yang melindungi kerajaannya dari ancaman serangan kerajaan luar dengan membina tembok gergasi yang melindungi negaranya, iaitu kerajaan Uruk.

Epik Gilgamesh

Kisah Gilgamesh ditemui pada 12 tablet bertulis purba yang dijumpai oleh ahli arkeologi. Kisah nya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu pengembaraan Gilgamesh dan sahabat sejatinya, Enkidu. Bahagian kedua pula merupakan pengembaraan Gilgamesh dalam misi mencari rahsia hidup kekal abadi selepas mengalami kemurungan akibat kematian Enkidu.

Epik ini bermula dengan penceritaan latar masyarakat kerajaan Uruk yang tertekan dengan kezaliman Raja Uruk iaitu Gilgamesh. Gilgamesh merupakan raja yang disifatkan sebagai memiliki kekuasaan luar biasa, dengan tubuh 1/3 manusia dan 2/3 tuhan. Akibat dari kezaliman dan kekejaman Gilgamesh, dewa-dewa (Mitos Sumeria) telah mencipta seorang manusia buas (beast-man) iaitru Enkidu untuk mengalihkan perhatian Gilgamesh dari terus menindas rakyatnya.

Enkidu, sebagai lelaki buas ditangkap seorang pemburu dan dibawa ke bandar. Dipendekkan cerita, maka mereka berdua, iaitu Gilgamesh dan Enkidu bertemu, lalu berlaku pertarungan antara mereka berdua. Pertarungan tersebut berakhir dengan seri dan buat pertama kalinya Gilgamesh merasa suatu kepuasan dan ketakjuban kerana bertemu seorang lelaki yang sama gagah dengannya. Mereka berdua kemudiannya menjadi sahabat.

Gilgamesh kemudiannya mengajak Enkidu untuk mengembara ke Rimba Cedar dengan tujuan memburu dan membunuh Humbaba seekor raksasa yang menjaga Rimba Cedar. Tujuan mereka adalah untuk mendapat kemasyhuran dan pengiktirafan. Sepanjang perjalanan mereka melalui pelbagai cabaran dan mimpi buruk. Pertarungan akhirnya menjadi kenyataan dan Gilgamesh serta Enkidu berjaya menewaskan Humbaba.

Dewi Ishtar (dewi dalam mitologi Sumeria) meminta Gilgamesh berkahwin dengannya namun permintaa ini ditolak diatas dasar perangai buruk Ishtar terhadap bekas-bekas kekasihnya. Ishtar merasa terhina dengan layanan yang diberikan oleh Gilgamesh dan Enkidu meminta Seladang Syurga ( Bull of Heaven) dari ayahnya (Dewa Anu) untuk membalas dendam terhadap Gilgamesh dan Enkidu. Raksasa ini kemudiannya berjaya dibunuh oleh Gilgamesh dan Enkidu. Kejayaan mereka berdua diraikan rakyat Uruk tetapi Enkidu mendapat alamat yang buruk yang akan menimpa mereka berdua.

Dewa-dewa Sumeria meletakkan kesalahan membunuh Humbaba dan Seladang Syurga diletakkan diatas bahu mereka berdua. Akibatnya, Enkidu ditanda sebagai orang yang dihukum dengan kematian. Gilgamesh menjadi murung dan berdukacita lalu timbul perasaan takut terhadap maut dalam dirinya. Gilgamesh memulakan pengembaraannya dalam mencari rahsia untuk hidup kekal dan pengembaraannya kini bertujuan mencari seorang lelaki dalam lagenda, Ut-Napishtim yang dikatakan mencapai kehidupan yang kekal.

Perjalanan yang sukar tersebut berakhir dengan bertemunya Gilgamesh dan Ut-Napishtim. Ut-Napihtim menceritakan bagaimana dia mencapai kehidupan yang kekal. Dia adalah wira dalam peristiwa banjir besar yang menenggelamkan dunia (kisah yang agak sama seperti kisah Nabi Nih a.s). Selepas banjir tersebut, dewa-dewa telah merahmati beliau dan mengurniakan umur yang kekal abadi. Dia menjelaskan manusia memang tidak dapat hidup selamanya, dan mencabar Gilgamesh bertanding supaya tidak tidur selama 6 hari dan 7 malam. Utnapishtim meminta isterinya membakar kuih pada setiap hari ketika Gilgamesh tertidur. Utnapishtim menasihati Gilgamesh bagaimana beliau hendak mengelakkan diri dari maut sedangkan dia tidak dapat mengelakkan diri dari tidur.

Sebelum berangkat pulang isteri Utnapishtim mengingatkan suaminya supaya memberi hadiah perpisahan kepada Gilgamesh. Utnapishtim menerangkan bahawa terdapat sejenis buah yang terletak didasar laut dimana buah tersebut akan mengembalikan keremajaan dan kemudaan kepada Gilgamesh. Selepas mendapatkan buah tersebut dalam perjalanan pulang, buah tersebut dicuri oleh seekor ular ketika Gilgamesh sedang membersihkan dirinya. Gilgamesh merasa sangat kesal dan sedih kerana segala peluang untuk dirinya hidup kekal telah disia-siakan. Dia kemudian berangkat kembali menuju ke Uruk, dan membina tembok besar kerajaan Uruk .

Kematian Gilgamesh

Apabila Gilgamesh mangkat, diceritakan didalam tablet bahawa beliau dikebumikan didasar sungai Furat (Euphrates). Sungai Furat dihadang sementara sebelum mengebumikan mayat Gilgamesh didasar sungai tersebut. Kajian telah dilakukan dan ahli arkeologi telah berjaya menemui makam beliau di dasar sungai tersebut. (lihat sini).