Saturday 1 June 2013

Malcolm X: Muslim Pembela Hak Asasi Kulit Hitam


Dilahirkan dalam kalangan masyarakat kulit hitam pada 1925, dimana diskriminasi dan ketidakadilan terhadap masyarakat berkulit hitam menyelubungi Amerika Syarikat khasnya, tiada siapa yang dapat menjangka Malcol Little pada suatu hari nanti akan menjadi tokoh pembela kulit hitam terkemuka dunia suatu hari nanti.

Latar Belakang

Bapa beliau, Reverend Earl Little merupakan seorang pendakwah Kristian manakala ibu beliau pula seorang wanita dari West Indies. Tragedi menimpa apabila bapa beliau dibunuh oleh segolongan pelampau kulit putih ketika beliau masih kecil. Beliau menanggung tekanan selepas ketiadaan bapanya manakala ibunya terpaksa menanggung keluarga tanpa seorang bapa. Tambahan lagi ditengah-tengah masyarakat yang memandang prejudis kepada golongan kulit hitam. Bapa saudaranya pula dihukum bunuh tanpa perbicaraan oleh pihak berkuasa dan ini menyebabkan kebencian yang mendalam didalam diri Malcolm Little terhadap orang kulit putih.

Jenayah, Penjara dan Nation of Islam

Tanpa bimbingan yang betul, Malcolm tenggelam didalam dunia jenayah dan aktiviti-aktiviti haram yang kemudian membawa penangkapannya pada 1946. Beliau kemudian dipenjarakan di Massachusetts State Prison di Charlestown dan disinilah bermulanya pengenalan beliau dengan pergerakan Nation of Islam (NOI).

Selepas tamatnya tempoh parol beliau dari penjara, beliau mendadak menjadi diantara pemimpin dan tulang belakang NOI. Nation of Islam bukanlah sebuah pertubuhan keagamaan tetapi merupakan sebuah pergerakan bagi pelampau kulit hitam yang mendakwa mereka sebagai golongan yang terpilih di dunia. Pemimpin NOI, Elijah Muhammad telah menggariskan 6 doktrin bagi pergerakan NOI iaitu:

  1. Islam ialah agama sebenar untuk golongan kulit hitam manakala Kristian pula agama untuk musuh iaitu kulit putih.
  2. Kepercayaan bahawa Allah sebenarnya seorang kulit hitam dan orang kulit hitam itu tuhan. 
  3. Kulit hitam ialah golongan terpilih yang penciptaannya dan asalnya berasaskan kebenaran. 
  4. Golongan kulit putih sebenarnya syaitan. 
  5. Pengasingan sosial dan politik daripada golongan kulit putih ialah keutamaan yang suci dan mulia. 
  6. Keperluan perpaduan kaum dan dalam Islam di seluruh dunia adalah bertentangan dengan tanggapan yang dicipta oleh Euro-America, beliau berpandangan bahawa semua penduduk negara membangun ditakdirkan untuk bersatu kerana mereka semua berasal dari golongan Kaum Asal (Original People).
Malcolm Little menukarkan namanya menjadi Malcolm X dan giat memperjuangkan NOI melalui bakat semulajadinya iaitu berpidato dan ceramah bagi membangkitkan perjuangan menentang penindasan pelampau berkuli putih. Diantara motto didalam ucapan beliau ialah mengenai 'Hak Kulit Hitam' dan 'Kuasa Kulit Hitam' serta menolak sebarang kerjasama atau perpaduan dengan orang kulit putih kerana ia merugikan orang kulit hitam. Beliau begitu popular di penghujung 50-an dan awal 60-an. Media-media di Amerika melabel beliau sebagai 'pencetus masalah' dan 'penghasut'.


Pembunuhan J.F.K dan Hijrah Beliau

Pembunuhan John F. Kennedy, Presiden Amerika Syarikat pada November 1963 telah menyebabkan kejutan besar di Amerika dan dunia. Ketika diminta memberikan komen terhadap peristiwa ini beliau memberikan kenyataan yang bermaksud pembunuhan John F. Kennedy adalah sesuatu pembalasan yang sesuai. Kenyataan beliau seolah-olah mengucapkan 'padan muka' kepada presiden yang dibunuh menyebabkan beliau ditekan dan digantung keahliannya oleh NOI. 

Penggantungan beliau menyebabkan beliau mengambil masa untuk berfikir dan kembali melihat perjuangannya bersama NOI. Hubungan Malcolm bersama NOI semakin buruk hasil hasutan ahli-ahli NOI yang tidak berpuas hati kepadanya tambahan pula Elijah Muhammad sendiri meragui kesetiaan beliau. Akhirnya beliau meninggalkan Elijah Muhammad berserta pergerakan NOI dan memilih untuk menjadi seorang Muslim yang mengikuti jalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menjadi seorang Sunni, beliau lantang mengkritik bekas ketuanya berserta NOI. Kepincangan dan penyelewengan didalam NOI didedahkan didalam ceramahnya.

Menunaikan Haji Serta Pembunuhan Beliau

Beliau menukarkan namanya menjadi Malik el Shabaaz dan menambahkan el Hajj dihadapan nama beliau selepas menunaikan haji. Beliau mengunjungi Makkah dan menunaikan haji pada1964. Disana, beliau disambut seperti seorang keluarga dan dilayan dengan sangat baik. Beliau mengalami suatu keadaan yang tidak pernah digambarkan beliau sebelum ini dimana semua orang adalah bersaudara, saling berkongsi dan membantu, tidur dialas yang sama dan makan dari bekas yang sama. Beliau melihat lelaki yang lebih sangat putih kulitnya, sangat biru matanya, sangat perang rambutnya, namun mereka berdua tetap bersaudara.

Pada 21 Febuari 1965, di Manhattan's Audubon Ballroom ketika beliau hendak memulakan ucapan beliau berlaku satu kekecohan dikalangan hadirin. Ketika cuba menenangkan keadaan dari atas pentas beliau ditembak bertalu-talu sehingga menyebabkan kematian beliau.


No comments:

Post a Comment