Friday 8 February 2013

Suhaib Bin Sinan Si Lelaki Romawi

“Dan di antara manusia, ada yang menjual dirinya kerana hendak mencari keredaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada sekalian hamba Nya.” Al-Baqarah ayat 207.

Sejarah Hidup Suhaib Bin Sinan Al-Rumi

Suhaib Bin Sinan r.a berasal dari keluarga yang berkepentingan dalam kerajaan Parsi. Bapa beliau adalah seorang Gabenor yang memerintah Wilayah Kota Ubullah. Kerajaan Rom (Byzantine) dan Parsi pada ketika itu bermusuhan dan saling mencabar. Dalam suatu peristiwa, beliau yang masih muda belia telah ditawan oleh tentera-tentera Rom. Takdir Allah SWT menetapkan beliau menjadi hamba selama hampir 20 tahun. beliau berjaya melarikan diri dengan pertolongan pedagang-pedagang yang bersimpati dengannya dan tinggal di Kota Makkah. Riwayat yang lain mengatakan beliau dijual kepada saudagar berbangsa Arab yang dikenali sebagai Ibn Jad'an. Ibn Jad'an yang menjadi tuannya kagum dengan kecerdasan minda dan mulia akhlaknya lalu membebaskan beliau dari belenggu perhambaan.

Susur galur keturunannya berasal dari bangsa Arab, namun datuk dan bapanya merupakan pegawai dan gabenor bagi kerajaan Parsi. Ketika menjadi hamba, beliau mempelajari dan mendalami kebudayaan Rom dan Greek. Ciri-ciri fizikal beliau seperti berambut perang, tinggi, cerah dan sesetengah riwayat mengatakan bahawa beliau bermata biru menyebabkan gelaran Suhaib Al-Rumi (Suhaib si lelaki Rom) melekat padanya.

Setelah bebas dari belenggu perhambaan, beliau menjalankan perniagaan bersama Ibn Jad'an dan menjadi seorang yang berada dalam kesenangan.

Kedatangan Islam

Ketika Nabi Muhammad SAW mula menyampaikan dakwah baginda, beliau segera tertarik dengan dakwah baginda SAW. Bagi mengelakkan dirinya menjadi sasaran serangan dan penyeksaan Musyrikin Makkah , beliau secara sembunyi-sembunyi datang untuk menyatakan bai'at kepada Rasulullah SAW. Dalam perjalanan bertemu Rasulullah SAW di Dar al-Arqam, dia terserempak dangan sahabatnya, Ammar Bin Yassir r.a. Dalam situasi masyarakat yang sentiasa mencurigai pergerakan individu-individu yang mahu memeluk Islam, terjadilah soal jawab antara mereka berdua. Lalu mereka menyedari bahawa tujuan mereka adalah sama iaitu untu mendengar pengajaran dan dakwah Rasulullah SAW. Mereka kemudiannya bersama-sama mengucapkan syahadah dihadapan Rasulullah SAW.

Suhaib Bin Sinan dan Ammar binYassir turut termasuk ke dalam golongan yang memeluk Islam di peringkat awal Dakwah Islamiyyah. Beliau kemudiannya menjadi pendamping dan sahabat rapat Baginda SAW.

Hijrah Ke Madinah

Selepas melalui rintangan dan cabaran di Makkah sepanjang membantu perjuangan Rasulullah SAW, Baginda SAW akhirnya menganjurkan hijrah ke Madinah al-Munawwarah. Umar al-Khattab r.a misalnya diriwayatkan berhijrah secara terbuka dan mencabar pemuka-pemuka kafir Quraisy supaya menghalangnya.

Namun bagi Suhaib r.a, beliau tidak memiliki perlindungan, pengaruh mahupun ahli keluarga kerana nasib beliau sebagai orang asing yang bebas dari perhambaan. Maka beliau merancangkan hijrah dengan menyusup keluar dari kota Makkah. Perkara ini berjaya di kesan golongan kafir Quraisy lalu terjadilah kejar mengejar antara kedua-dua pihak. Suhaib merasa terkepung kerana pantasnya golongan Quraisy menjejak dan mengejarnya.

Suhaib bersembunyi dan panahnya. dan berkata:

"Hai kaum Quraisy, kamu telah mengetahui demi Allah bahwa aku adalah seorang yang mahir memanah dan panahanku sentiasa mengenai sasarannya. Demi Allah, kamu tidak akan mampu sampai kepadaku, kerana setiap anak panahku akan membunuh seorang dari kamu semua. Jika panahku habis, kamu akan kulawan dengan pedangku."

Seorang di antara pengejarnya berkata: "Sungguh, kami tak akan membiarkanmu pergi dengan membawa diri dan hartamu. Dulu engkau datang ke Makkah sebagai seorang miskin yang hina, dan kemudian kini menjadi kaya raya."

Suhaib lalu menjawab: Bagaimanakah pendapat kalian, jika seluruh harta yang ada padaku, kuserahkan kepada kamu dan aku dibolehkan meneruskan perjalanan?"

Mereka serentak menjawab: "Ya."

Kemudian Suhaib menunjukkan kepada mereka, tempat di rumahnya yang dipergunakan untuk menyimpan hartanya. Para kafir-Quraisy segera menuju rumah Suhaib di Makkah dan mengambil hartanya. Mereka lalu melepaskan Suhaib.

Dengan bergegas, Suhaib menuju Madinah, meluru menyelamatkan agamanya untuk mencari redha Allah S.W.T dan RasulNya. Dia tidak merasa kecewa sedikit pun dengan harta yang telah diinfakkannya guna memetik kehidupan yang lebih segar yang didambakannya.Hal itu dibenarkan oleh wahyu dari langit dan Jibril a.s sebagai saksi.Firman Allah SWT:

“Dan di antara manusia, ada yang menjual dirinya kerana hendak mencari keredaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada sekalian hamba Nya.” Al-Baqarah ayat 207.

Rasulullah SAW menyifatkan tindakan beliau sebagai tindakan yang menguntungkan, iaitu menjualkan hartanya dan berhijrah sehelai sepinggang demi menyelamatkan agmanya.

Selepas Hijrah, Suhaib bin Sinan r.a turut serta menyertai kesemua kempen-kempen jihad fisabilillah anjuran Rasulullah SAW sehinggalah kewafatan baginda SAW.

Suhaib Bin Sinan al-Rumi r.a dinukilkan berkata:

“Tidak ada peperangan sedikitpun yang dilakukan Rasulullah SAW kecuali aku ikut bersamanya. Tidak ada bai’ah yang dilakukukan oleh Rasulullah kecuali aku juga ikut di dalamnya. Tidak ada sirriyah (ekspedisi) sedikitpun kecuali saya ada didalamnya. Tidak ada penaklukan sedikitpun kecuali aku ada di sebelah kiri atau kanannya Rasulullah saw. Tidak ada ketakutan sedikitpun dihadapan mereka kecuali aku ada dihadapan mereka dan tidak di belakang mereka kecuali aku ada di belakang mereka. Dan tidak ada perlakuan bersama Rasulullah SAW antara aku dan musuh sedikitpun sampai Baginda wafat kecuali aku berada disisinya”.

Selepas Kewafatan Rasulullah melalui Zaman Sahabat

Suhaib Bin Sinan r.a meneruskan aktiviti hidupnya dengan zuhud dan sekali sekala membantu Khalifah-Khalifah al-Rasyidin sekiranya diminta. Beliau turut meneruskan perjuangan jihad bersama tentera-tentera Islam di zaman sahabat.

Ketika Khalifah Umar Al-Khattab r.a sakit akibat cedera ditikam yang membawa kepada ajal, beliau sempat berpesan supaya Suhaib bin Sinan menggantikannya sebagai imam solat yang secara tidak langsung menjadi ketua negara sementara.

Sementara apabila fitnah berlaku yang menyebabkan pembunuhan Khalifah Uthman Bin Affan r.a, beliau lalu mengelakkan diri dari menyertai mana-mana pihak kerana tidak menginginkan perpecahan.

Beliau wafat pada tahun 38 H pada usia 73 tahun, dan dimakamkan di Baqi ketika pemerintahan Khalifah Ali Bin Abi Talib r.a.

___________________
1. http://en.wikipedia.org/wiki/Suhayb_ar-Rumi
2. http://destinasibaru.blogspot.com/2009/06/riwayat-suhaib-bin-sinan.html
3. http://istiqommah.blogspot.com/2011/12/suhaib-bin-sinan-ar-rumi.html
4. http://mujahidinmukhlis.blogspot.com/2011/12/lakaran-hijrah-shuhaib-ar-rumi.html

No comments:

Post a Comment