Wednesday 14 August 2013

Sheikh Muhammad Said al-Linggi: Ulama Sufi Pedoman Masyarakat

Tokoh Ulama Terkemuka Nusantara

Nama penuhnya tokoh besar ini ialah Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin. Beliau adalah anak Tuan Sheikh Haji Jamaludin Haji Idris bin Haji Mokmin bin Nakhoda. Ibunya Hajah Safiah Haji Muhamad Saleh Al Fatani berasal dari Patani, seorang pembaca Al Quran yang terkenal dan pernah menjadi guru qiraati semasa di Mekah. Datuknya Haji Muhamad Saleh juga seorang ulama terkenal dan berkahwin dengan Mariam, anak kepada ulama Sheikh Abdul Rashid Al Fatani.

Tempat Lahir

Allahyarham ini dilahirkan di Kota Mekah di Kampung Shaab Ali atau disebut juga Syi'b Ali pada hari Sabtu 4 Syaaban 1292H bersamaan 25 atau 18 September 1871( kiraan penyusun) tetapi catatan Nawawi Haji Indek dalam tahun 1873 dan Ismail Che Daud pada 1875. kemudiannya beliau dibawa balik ke Patani dalam tahun 1882 ketika berusia 7 tahun. Di sana Muhamad Said dipelihara oleh ibu dan neneknya ( Mariam).

Pendidikan

Tokoh yang kita bicarakan ini memang bertuah kerana dilahirkan dalam rumah tangga orang-orang alim. Ibunya adalah pendidik awal kepada Muhamad Said hingga berjaya membentuk jiwanya berkeperibadian luhur dan mulia. Selepas itu dia mula berguru dengan beberapa ulama di Patani seperti Sheikh Zainal Abidin Muhamad ( Tuan Minal), Haji Awang @ Dato' Semela, Dato' Nahu dan Sheikh Muhamad Nuh dari Kedah. Kecerdasan dan ketekunannya dalam menuntut ilmu begitu terserlah.

Diriwayatkan apabila usianya menjangkau 17 tahun, beliau pun belayarlah ke Mekah Al Mukarramah tempat ianya dilahirkan. Di Mekah, Muhamad Said menuntut ilmu agama kepada lebih 50 orang guru. Antara guru-gurunya ialah Sheikh Muhamad Sulaiman, Hasbullah al Maliki, Muhamad Nawawi al Batani dan ramai lagi. Beliau juga sempat berguru dengan Sheikh Jafar al Barzanji di Madinah. Ketika di Al Azhar pula, beliau mengaji dengan Sheikhul Azhar ketika itu Sheikh Al Ambabei dan Sheikh Ahmad Al Rifa'i Al Maliki dalam tahun 1896.
Sekembalinya beliau ke Mekah, dia telah mengambil tarekat dengan Sheikh Muhamad bin Ahmad Al Dandarawi dan mendapat ijazah Tarekat Ahmadiah pada tahun 1318 Hijrah ( 1901). Beliau dikatakan alim dalam ilmu alat, usulludin, fiqh 4 mazhab, ilmu rohani, hikmat, falsafah dan lain-lain lagi.

Balik Ke Tanahair

Terdapat perbezaan tarikh jangkaan beliau balik ke tanahair. Dalam catatan Ismail Che Daud dinyatakan beliau kembali sekitar tahun 1902/ 1320 H. Bagi Nawawi Hj Indek pula pada tahun 1900 sewaktu ia berusia 27 tahun. Beliau telah menetap di Ampangan, Seremban dan mula mengajar agama serta menyibarkan tarekat Ahmadiah. Sheikh Haji Muhamad Said adalah khalifah atau wakil peribadi Sheikh Muhamad Al Dandarawi bagi kepulauan Melayu atau tanah Jawi. Pondoknya dibina di Ampangan, Seremban. Pondok ini dikatakan yang pertama diwujudkan di negeri ini dan ramai murid-murid dari serata tempat dalam Negeri Sembilan dan luar datang memondok di sana. Selain dari itu beliau juga keluar memberi kuliah di masjid dan surau.

Dalam menjalankan kerja dakwah dan mengajar agama kepada anak bangsanya, beliau terpaksa menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai daie. Apatah lagi ketika suasana negeri masih terjajah dan serba mundur yang menyebabkan peluang mendapatkan pendidikan khasnya ilmu agama amat terbatas. Kedudukan kawasan penempatan yang sukar dihubungi, jauh dan tiada tokoh-tokoh agama memimpin boleh menyebabkan budaya khurafat, bidaah dan adat-adat menyalahi syariat berleluasa. Kita amat bersyukur apabila ada ulama yang tampil membawa suluh memimpin ummah dari dahulu hingga sekarang. Ramai kalangan orang-orang alim waktu itu membuka kelas pengajian agama atau membina pondok untuk mendidik anak bangsa dengan ilmu agama. Muhamad Said turut mengikuti jejak langkah bapanya Sheikh Jamaluddin Haji Idris dengan membuka pondok pengajian.

Beliau juga merantau banyak tempat seperti di Indo China, Siam, Kedah, Pahang, Singapura dan Kelantan dalam kegiatan dakwah disamping menyibarkan tarekat Ahmadiahnya. Difahamkan ada sebuah masjid yang diasaskan oleh Sheikh Muhamad Said di Bangkok dan beliau turut mengislamkan seorang Raja Siam. Kisah menarik raja menganut Islam ini bermula apabila raja tersebut bermimpi bertemu seorang yang mulia yang mukanya berseri-seri. Baginda telah memanggil seorang sami besar untuk mentafsirkan mimpinya. Sami tersebut menyarankan supaya baginda bertanya kepada seorang alim Islam yang menurut pandangannya akan datang ke negeri itu. Sheikh Muhamad Said dalam perjalanan dakwahnya ke Siam telah dijemput ke istana dan dipendekkan cerita, beliau telah mentafsirkan lelaki mulia dalam mimpi raja itu ialah Rasulullah SAW. Selepas itulah raja itu diislamkan oleh Sheikh Muhamad Said.

Pernah berlaku di Kelantan dalam tahun 1905, berlaku kegemparan kalangan rakyat negeri lantaran pembawaan Tarekat Ahmadiah cara Sheikh Muhamad Said. Kaedah zikir tarekatnya boleh menimbulkan keasyikan atau seakan mabuk. Ramai ulama tempatan menentang gaya ini. Ekoran dari kegemparan ini Sultan Kelantan ketika itu telah menulis surat bertarikh 12 November 1905 kepada tokoh ulama Kelantan yang bermukim di Mekah iaitu Wan Ahmad Haji Wan Din ( Wan Muhamad Zainal Abidin) untuk mendapat penjelasan atas kegemparan tersebut.

Sheikh Muhammad Said juga dianggap pembenteng aliran kaum tua kerana beliau tidak memberi tempat kepada pengaruh kaum muda atau lebih dikenali Wahabi itu meluaskan pengaruhnya di negeri ini. Malah dalam manakib Sheikh Muhamad Said Al Linggi ada menyatakan pandangan dan bidasan beliau yang keras terhadap aliran ini. Walau bagaimanapun, penyusun tidak berhasrat untuk menyentuh perbezaan pendapat aliran-aliran tersebut di ruangan ini kerana beberapa tokoh dalam bibliografi ini ada juga kalangan ulama aliran kaum muda yang mempunyai peranan besar dalam meninggikan syiar Islam di negeri ini. Kita berdoa agar ulama yang berjasa besar tersebut mendapat limpahan rahmah dari Allah SWT jua.

Perkahwinan

Sheikh Muhamad Said ketika di Kelantan menetap di rumah mertuanya Haji Awang Alim di Kota Bharu. Beliau berkahwin dengan Hajah Safiah Haji Awang semasa di Mekah lagi. Menurut riwayatnya, Sheikh Muhamad Said pernah berkahwin sebanyak 9 kali dan mempunyai anak seramai 32 orang. Zuriatnya ramai menjadi tokoh-tokoh agama yang disegani sehingga sekarang. Umum telah mengetahui bahawa tokoh ini amat warak dan dianggap sebagai wali Allah lantaran beberapa kelebihan semasa hidupnya. Orangnya berkeperibadian sederhana, zuhud, kuat beribadah dan suka menolong orang susah. Dikatakan Almarhum Tuanku Muhamad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ( 1888 - 1933 ) dan Dato' Kelana Ma'mur ( 1889 - 1945 ) sangat menghormati dan mengasihi Sheikh ini. Malah pernah ditawarkan jawatan kadhi tetapi beliau menolaknya. 

Kitab-Kitab dan Karya Beliau

Semasa hayatnya, ulama terbilang ini kerap menjadi rujukan dalam permasalahan agama. Beliau juga banyak meninggalkan hasil tangan berupa kitab-kitab seperti berikut:

1. Syarh Kunuz al Jawahir al Nuraniyat Fi Qawaid al Tariqat al Shadhiliyah ( 1905).
2. Al Ahzab al ‘Irfaniyyat Wa al Awrad al Nuraniyah ( 1905).
3. Kashf al Ghiba an Haqiqat al iba.
4. Risalah Fath.
5. Sullam al Ta'rif ila ‘llm al Tasrif.
6. Manuskrip Syair Arab, berkaitan kupasan tentang permasalahan golongan Wahabi.

Meninggal Dunia

Pada 12 R'awal 1345 bersamaan 20 September 1926, Ulama terbilang ini menghembuskan nafas terakhirnya. Jasadnya dihantar ke tanah perkuburan berhampiran Kebun Bunga Seremban oleh ribuan anak muridnya termasuk Almarhum Tuanku Muhamad sendiri.

No comments:

Post a Comment