Friday 22 February 2013

Syeikh Umar Mukhtar: Singa Padang Pasir Libya


"Wahai para Mujahidin ! Janganlah kalian berputus asa daripada rahmat Allah, kerana Allah akan menolong kalian daripada penjajah perampas ini, dan Allah akan menolong Islam dengan kalian. ! ". Syeikh Umar Mukhtar sebelum menjalani hukuman gantung.

Latar Belakang dan Awal Kehidupannya

Beliau dilahirkan dengan nama Umar Mukhtar Ibn Umar al-Manfy. Tempat dan tarikh lahir beliau menjadi percanggahan beberapa sumber. Ada yang mendakwa bahawa beliau dilahirkan di al-Bathan di Burqa pada tahun 1862 sedangkan sumber yang lain menyatakan bahawa beliau lahir pada 20 Ogos 1858 di sebuah perkampungan kecil di Janzour yang berdekatan dengan Tabruq di timur bandar Burqa, Libya.

Kedua-dua ibu bapanya adalah orang yang soleh dan solehah, namun meninggal ketika usia beliau masih lagi muda. Beliau dipelihara oleh Syarif al-Ghariani, seorang yang berpengaruh dan anak saudara kepada Hussein Ghariani yang merupakan seorang pemimpin dan ulama yang terkenal disana. Beliau menuntut ilmu dengan gigihnya sehingga ke peringkat universiti di Jaghbub yang merupakan ibu pejabat Pergerakan Senussi, sebuah organisasi orang Islam yang terkenal di Libya dan Afrika. Beliau pernah dihantar untuk membantu pejuang-pejuang Islam Chad melawan penjajah dan penceroboh Perancis dalam tahun 1899.

Jihad Melawan Itali

Pada Oktober 1911, berikutan pengunduran tentera Empayar Turki Uthmaniyah dan tentera tempatan Libya akibat tekanan dari tentera Itali. Dibawah kepimpinan Jeneral Luigi Faravelli, beliau mendesak agar pihak Turki dan Libya menyerah kalah dan menyerahkan Libya kepada mereka. Tentera Turki sebaliknya berundur ke kawasan pedalaman daripada menyerahkan diri. Ini menyebabkan tentera Itali mengebom bandar Tripoli dan Benghazi selama 3 hari. Kekejaman ini menyaksikan sebuah titik tolak permulaan perjuangan Syeikh Umar memimpin para mujahidin melawan Itali.

Perang Gerila

Syeikh Umar al-Mukhtar adalah seorang guru Al-Quran secara profesionnya, namun beliau juga seorang pakar taktikal, pakar geografi, dan pakar pertempuran di padang pasir. Beliau menggunakan kemahirannya itu untuk berjuang melawan penjajah Itali di bumi Libya. Antara taktik yang digunakan ialah menyerang pangkalan-pangkalan dan pos tentera Itali, menyerang hendap kumpulan-kumpulan tentera Itali yang melakukan rondaan dan perjalanan (troops) dan memotong bekalan bantuan dan komunikasi. Tentera Itali yang tidak dapat membiasakan diri dengan perang di padang pasir sentiasa terkejut dan ketakutan dengan taktik yang digunapakai oleh Syeikh Umar. Beliau biasanya memimpin hanya sekumpulan kecil pejuang yang bertindak pantas dan cekap melumpuhkan kekuatan musuh dan segera menghilang disebalik bayangan padang pasir.

Diatas bakat kepimpinan dan pengetahuan luas beliau dalam Islam dan jihad, beliau dipilih menjadi ketua komander Mujahidin dan bermarkas di Jabal el-Akhdar. Penjajah Itali tidak berdiam diri membiarkan mereka terus dilemahkan sedikit demi sedikit. Mereka menggunakan taktikal balas terhadap serangan gerila yang diatur pejuang mujahidin. Syeikh Umar bangkit dari kerugian yang berpunca dari taktikal balas tersebut dan mengubahsuai strategi yang beliau laksanakan dengan bantuan berterusan dari Mesir. Walaupun tekanan yang dikenakan oleh Itali diperhebatkan, namun beliau mengejutkan pihak Itali dengan siri-siri kejayaan menyerang hendap tentera Itali sehingga menyebabkan kerugian yang besar kepada penjajah tersebut.

Kerugian demi kerugian yang ditanggung oleh penjajah Itali memaksa mereka menghantar wakil untuk tujuan perdamaian. Beliau ditawarkan elaun bernilai beratus-ratus ribu dolar, dan lain-lain harta duniawi yang mampu menggelapkan mata seorang nasionalis dengan sekelip mata. Namun beliau memilih untuk terus berjuang dan mengharap ganjaran di akhirat. Dalam rundingan damai yang lain, beliau meletakkan beberapa perkara sebagai syarat perjanjian. Antaranya:

1. Itali hendaklah mengakui bahawa bahasa Arab adalah bahasa rasmi Negara.

2. Mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi Negara.

3. Komandan-komandan tentera Libya hendaklah terdiri daripada orang Libya sendiri.

Penjajah Itali menolak tuntutan Syeikh Umar dan memilih untuk meneruskan penguasaan di bumi Libya. Itali lalu membawa masuk Jeneral Rudolfo Graziani, seorang pakar taktikal peperangan Itali yang terkenal sebagai seorang yang kejam. Beliau menggunakan taktik seperti menutup pagar sempadan Mesir-Libya, membina kem-kem tahanan, dan memaksa rakyat tempatan dimasukkan didalam kem secara beramai-ramai. Akibatnya pejuang mujahidin mengalami kekurangan bekalan, ketiadaan bantuan luar dan terasing dari mendapat maklumat.

Itali juga menjalankan operasi memburu pejuang pejuang dengan mengebom markas-markas pejuang, menghantar perisik-perisik, mengejar pejuang-pejuang dimana-mana sahaja hasil maklumat orang awam, dan membuat serangan udara. Namun Syeikh Umar yang semakin tua tetap meneruskan perjuangan dan tetap gigih merancang serangan balas kepada penjajah Itali.

Penangkapan Dan Hukuman Mati

Perjuangan Syeikh Umar Mukhtar yang berterusan selama 22 tahun menemui titik noktahnya apabila pada September 1931, tentera Itali berjaya membunuh ramai pejuang-pejuang mujahidin dan menawan Syeih Umar yang mengalami kecederaan. Beliau ditangkap dan dipenjarakan oleh tentera Itali selama beberapa hari sebelum dibicarakan. Rudolfo Graziani melahirkan kekaguman apabila melihat Syeikh Umar dengan berkata: "Of medium height, stout, with white hair, beard and mustache. Omar was endowed with a quick and lively intelligence; was knowledgeable in religious matters, and revealed an energetic and impetuous character, unselfish and uncompromising; ultimately, he remained very religious and poor, even though he had been one of the most important Senusist figures."
Dalam perbicaraan yang berlangsung hanya selama 75 minit, beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh pihak penjajah, tanpa mengira dan mempertimbangkan usia beliau yang sudah tua. Apabila ditanyakan kepada beliau sebarang permintaan terakhir selepas hukuman dibacakan, beliau hanya menjawab “Inna lillah wa inna ilaihi raji’uun” (daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali).


Pada 16 September 1931, beliau menjalani hukuman gantung dihadapan pengikut-pengikutnya di sebuah kem tahanan di Suluq dengan harapan agar semangat dan pergerakan jihad yang disuburkan beliau akan layu bersama-sama kematian beliau. Beliau sempat bersolat sunat dua rakaat dan memberikan pidato ringkas supaya perjuangan beliau diteruskan tanpa rasa takut dan gentar terhadap penjajah. Ketika itu, beliau berusia 73 tahun.

Kisah perjuangan beliau menentang penjajah Itali dabadikan dan difilemkan dengan tajuk "The Lion of The Desert".


_____________________________
1.http://tokoh1038.blogspot.com/2005/09/umar-mukhtar-singa-padang-pasir-yang.html
2.http://obefiend.blogspot.com/2011/10/gaddafi-and-umar-mukhtar-kisah-2-orang.html
3.http://en.wikipedia.org/wiki/Omar_Mukhtar

No comments:

Post a Comment